ziarah_visiticon.jpgApabila penulis dimaklumkan oleh ketua jabatan yang penulis diminta untuk ke Terengganu, penulis telah menyenaraikan beberapa aktiviti yang akan dilakukan sepanjang berada di Kuala Terengganu nanti, termasuklah untuk ke muzium, pasar payang, istana maziah, masjid terapung, kampong losong, dan sebagainya.

Justeru, memandangkan hari Jumaat penulis tidak terlibat dengan tugas rasmi, maka penulis telah membuat keputusan untuk ke Muzium Negeri Terengganu pada pagi tersebut. Pada hari sebelumnya, penulis telah membuat panggilan telefon ke muzium untuk memastikan yang muzium dibuka pada hari jumaat. Pihak muzium memaklumkan yang muzium dibuka pada hari dan masa-masa seperti berikut:

Sabtu ~ Khamis : 9 am ~ 5 pm

Jumaat : 9 am ~ 12 noon & 3 pm ~ 5 pm

Aidilfitri & Aidiladha : Ditutup pada hari raya pertama & kedua sahaja

Penulis menaiki teksi dari hotel penginapan ke muzium, yang mengambil masa lebih kurang 20 minit dengan caj RM 15 satu perjalanan. Tiket untuk masuk ke muzium pula adalah berharga RM 2 (tiketnya boleh digunakan sebagai poskad sebagai tanda kenangan). Akhirnya penulis berjaya juga menjejakkan kaki di Muzium Terengganu, muzium yang terbesar di Asia Tenggara.

Muzium Terengganu telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafibillah Shah, Sultan Terengganu pada 20 April 1996 dan meliputi kawasan seluas 27 hektar. Kompleksnya pula mempunyai keluasan lantai keseluruhan berjumlah 75075 meter persegi yang terdiri dari 4 blok bangunan Muzium Utama, Muzium Maritim, 5 buah rumah tradisional serta kawasan landskap.

Antara galeri yang terdapat di muzium utama ialah Galeri Islam, Galeri Tekstil, Galeri Di Raja, Galeri Sejarah, Galeri Kraf, Galeri Petroleum, Galeri Ilmu Kejadian. Manakala di muzium maritim pula terdapat dua galeri iaitu Galeri Perikanan dan Galeri Pelayaran & Perdagangan.

Di Galeri Islam memaparkan pendakwah-pendakwah Islam yang datang ke Terengganu seterusnya bermastautin di sini, kitab-kitab yang dihasilkan, khat dan ukiran Islam, serta senibina surau serta masjid yan terdapat di Terengganu. Selain itu, penemuan Batu Bersurat Terengganu yang menjadi bukti penyebaran Islam dan bermulanya tulisan Jawi di Nusantara, menjadi tarikan utma pengunjung. Banyak lagi artifak-artifak Islam yang dipamerkan di galeri Islam ini.

Di Galeri Tekstil pula memaparkan sejarah, proses penghasilan, perkembangan serta jenis-jenis tekstil yang dihasilkan seperti songket, limar, batik, pelangi, cindai, gerus dan telepuk. Pelbagai jenis busana tradisional juga dipamerkan, termasuk pakaian harian dan upacara seperti perkahwinan, berkhatan dan banyak lagi.

Galeri Di Raja mempamerkan salasilah Di Raja Terengganu, bila dan di manakah Kesultanan Terengganu bermula dan siapakah Sutan Terengganu yang pertama. Di samping itu, turut dipamerkan adalah koleksi kelengkapan, peralatan dan bintang-bintang kebesaran yang dikurniakan sama ada yang diterima dari pihak lain ataupun yang diberikan kepada golongan yang banyak sumbangannya kepada Terengganu.

Galeri Sejarah cuba membawa pengunjung untuk melalui sebuah perjalanan melalui pelbagai peristiwa, artifak dan kisah tokoh-tokoh yang telah memperkaya dan mencipta sejarah.

Pengunjung yang minatkan dengan kraftangan serta ingin menghayati kehalusan kerja dan kesenian teknologi tradisional yang menghasilkan pelbagai barangan kraftangan, bolehlah mengunjungi Galeri Kraf, di tingkat atas Muzium Utama, bersebelahan dengan Galeri Diraja. Di galeri ini mempamerkan keindahan tikar yang dianyam, barangan tembaga, emas dan perak, serta keunikan senjata tradisional seperti keris, Lawi Ayam, Kuku Harimau, sundang yang mencerminkan kemahiran dan kehebatan tukang besi zaman dahulu. Senjata-senjata ini digunakan untuk mempertahankan diri, sebagai perhiasan atau sebagai lambang kebesaran dan keagungan

Industri petroleum yang merupakan sumber ekonomi negeri yang penting. Justeru, dengan adanya Galeri petroleum ini, pengunjung diberi peluang menerokai dan mempelajari tentang sejarah dan perkembangan industri minyak di Malaysia.

Galeri yang terakhir di muzium utama ialah Galeri Ilmu Kejadian. Galeri ini memaparkan pelbagai jenis sumber alam yang terdiri dari flora dan fauna, batu batan dan galian yang terdapat di Terengganu serta kepentingannya dengan kehidupan manusia.

Selepas menyelusuri di kelima-lima galeri yang terdapat di muzium utama, tidak puas sekiranya pengunjung tidak mengunjungi ke muzium maritim. Pengunjung perlu berjalan keluar dari muzium utama untuk ke muzium maritim ini.

Seperti yang penulis maklumkan di awal-awal tadi, terdapat dua buah galeri di muzium maritim iaitu Galeri Perikanan dan Galeri Pelayaran & Perdagangan. Di Galeri Perikanan, pengunjung dapat menikmati suasana nyaman dan merasa ketenteraman sebuah perkampungan nelayan di samping dapat melihat pelbagai jenis peralatan menankap ikan dan perahu-perahu yang digunakan oleh penduduk di Terengganu. Manakala di Galeri Pelayaran & Perdagangan pula dipaparkan kepada pengunjung perahu-perahu besar yang dibina sepenuhnya denga tangan dan menggunakan teknologi tradisional, disamping pelbagai peralatan tradisional yang digunakan untuk membina sesebuah perahu.